Elak rahim jatuh
Oleh: SHAFINAZ SHEIKH
MAZNAN
JATUH organ peranakan (JOP) adalah satu
perkara yang biasa berlaku di kalangan kaum wanita. Dianggarkan, hampir separuh
daripada mereka yang pernah melahirkan anak akan mengalaminya di kemudian hari. Namun begitu ramai yang enggan berjumpa
doktor atas alasan malu, ditambah dengan keadaan JOP itu sendiri yang tidak
mengganggu kehidupan hariannya.
Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Kampung
Baru Medical Centre (KBMC), Kuala Lumpur, Dr. Rosilawati Abd. Ghani berkata,
JOP berlaku dalam keadaan di mana ligamen dan otot-otot di pelvis (pinggul)
menjadi lemah atau rosak dan tidak boleh lagi menampung organ pada bahagian
itu.
Apabila
ini berlaku, rahim akan jatuh keluar faraj, pundi kencing akan menonjol ke
dinding faraj dan usus besar menonjol arah belakang faraj.
Walaupun
tidak sampai mengancam nyawa tetapi ia mendatangkan ketidakselesaan dan
penderitaan emosi. Kadang- kadang seseorang itu boleh mendapat lebih dari
sejenis JOP,
katanya.
Jenis-jenis JOP
Bahagian atas/bumbung faraj
Sekiranya bahagian atas yang terlibat,
maka rahim akan jatuh ke bahagian faraj (uterine prolapsed).
* Gred 1: Rahim terturun sedikit.
Kebanyakan wanita mungkin tidak menyedarinya. Selalunya keadaan ini hanya
diketahui apabila pemeriksaan dijalankan oleh doktor atas tujuan lain seperti
pap smear
* Gred 2: Rahim jatuh lebih jauh ke bawah
dan pangkal rahim boleh dilihat di muka pintu faraj
* Gred 3: Hampir keseluruhan rahim jatuh
terkeluar dari faraj.
Bahagian hadapan
Pundi air kencing jatuh ke dalam faraj
(sistosele). Ia akan menolak dinding faraj ke hadapan yang menonjol seperti
satu benjolan.
Kebiasaannya pundi dan salur kencing akan
jatuh sekali (Cystourethrocele) dan paling biasa terjadi di kalangan wanita.
Bahagian belakang faraj
Sebahagian
dari usus kecil yang mengisi ruang antara rahim dan faraj boleh jatuh di
kawasan antara faraj dan bahagian akhir usus besar (rektum). Keadaan ini
dipanggil enterosele.
Jika
rektum pula yang jatuh, ia akan membentuk satu benjolan di belakang faraj
berhampiran dengan dubur. Ini dipanggil rektosele, terang Dr. Rosilawati.
Kemungkinan besar, kedua-dua keadaan ini
boleh berlaku serentak dan harus diperiksa secara menyeluruh. Ini amat penting
kerana jika tidak didiagnosis, boleh meningkatkan kesengsaraan pesakit
lebih-lebih lagi selepas pembedahan.
Menurutnya, ada lagi satu keadaan
dipanggil vault prolapse yang berlaku selepas pembedahan histerektomi atas apa
jua masalah.
Ini
mungkin mengambil masa untuk berlaku setelah sokongan oleh otot-otot keliling
dan bekas jahitan pada faraj menjadi lemah lalu jatuh ke bawah.
Ia
terjadi pada 15 peratus wanita yang menjalani pembedahan histerektomi
disebabkan oleh JOP dan hanya satu peratus atas alasan lain seperti fibroid, ujar beliau.
Punca-punca JOP
Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan
otot dan ligamen pelvis menjadi lemah, antaranya kehamilan dan bersalin; usia
dan menopaus; obesiti; ketumbuhan seperti fibroid yang besar dan; batuk atau
sembelit kronik.
Lain-lain termasuklah mengangkat bebanan
yang berat; keturunan seperti Sindrom Marfan dan etnik; menjalani pembedahan
pelvis seperti histerektomi, pembetulan pundi kencing dan; kerosakan atau
kecederaan pada saraf tunjang.
Simptom dan diagnosis
Wanita yang mengalami masalah JOP yang
sedikit, kata Dr. Rosilawati, ada kalanya tidak berasa sebarang simptom atau
ketidakselesaan.
Sekiranya
pundi kencing yang jatuh, ia mungkin mengakibatkan wanita sukar mengawal
kencing, kerap kencing atau kencing tidak puas.
Apabila
usus kecil atau besar yang jatuh, ia mungkin mengakibatkan sembelit, rasa tidak
puas buang air besar sehingga kadangkala terpaksa memasukkan jari untuk
mengeluarkan najis.
Jatuh organ rahim pula menyebabkan wanita
berasa ada benda berat di celah alat sulitnya. Dalam keadaan yang teruk di mana
rahim jatuh keseluruhannya, boleh menyebabkan luka, berdarah dan jangkitan
kuman.
Pencegahan
* Elakkan berdiri terlalu lama. Ambil masa
untuk duduk seketika dan melunjurkan kaki ke atas bangku. Ini selalu berlaku
pada jururawat, guru, doktor dan juga mereka yang selalu ke kawasan kerja
seperti jurutera
* Melakukan senaman pelvik adalah amat
penting walaupun di zaman bujang lagi. Ia menguatkan otot-otot dalaman,
membantu mempercepatkan proses pemulihan pascasurgeri, mendapatkan semula rasa
mengawal kencing dan mengurangkan sakit belakang
* Amalkan pemakanan yang betul bagi
mengelakkan sembelit kronik. Banyakkan makan sayur-sayuran, buah- buahan dan
bijirin/bran. Elakkan dari meneran di bilik air lebih 15 minit. Puas atau
tidak, sila keluar dari bilik air
* Memakai girdle/sut pelangsingan badan
yang sesuai boleh membantu tetapi bukan korset yang amat ketat
* Jangan merokok dan jauhkan diri daripada
perokok bagi menghindari batuk yang kronik
* Elakkan mengandung yang kerap dan rapat.
Cubalah kaedah-kaedah perancang keluarga yang mempunyai peratus kejayaan
tinggi.
Rawatan
Dr. Rosilawati berkata, sekiranya JOP
masih di peringkat awal, pesakit akan dirujuk kepada pakar fisioterapi untuk
mengajar teknik senaman pelvik.
Selain
itu, pesari faraj iaitu alat berupa gelang/donut yang terdapat dalam beberapa
saiz boleh digunakan untuk mengekang rahim dari jatuh.
Ia
boleh digunakan oleh wanita dari segala peringkat usia reproduktif atau yang
menopaus, yang tidak boleh atau tidak memilih cara pembedahan, jelasnya.
Mengulas lanjut, ini mungkin disebabkan
wanita itu muda dan masih mahu mengandung dan melahirkan anak atau wanita
berusia yang tidak sihat untuk menjalani pembedahan.
Cuma, ia perlu diganti setiap tiga atau
empat bulan dan pesakit hendaklah berjumpa pakar sakit puan untuk memasang dan
menukarnya.
Secara amnya, setiap rawatan individu
adalah bergantung kepada pelbagai sebab seperti usia, simptom, jenis JOP,
perancangan reproduktif dan seksual, tahap kesihatan serta kesannya terhadap
kehidupan wanita itu.
Rawatan pembedahan
Merupakan pilihan terakhir setelah
segalanya dilakukan. Anterior repair-colporrhaphy adalah pembedahan yang
dilakukan dari bahagian hadapan faraj tanpa melibatkan insisi/belah di bahagian
abdomen/perut.
Dr. Rosilawati memberitahu: Ia digunakan untuk membetulkan pundi
kencing yang sudah jatuh. Selalunya bius sepenuhnya atau bius separuh
digunakan.
Komplikasi
yang mungkin berlaku (tetapi jarang) adalah sakit ketika melakukan hubungan
kelamin, pundi kencing yang terlalu sensitif ataupun sukar membuang air kecil.
Begitu juga dengan posterior repair yang
melibatkan pembedahan dari belakang faraj dengan komplikasi yang lebih kurang
sama dengan anterior repair. Selain itu, terdapat teknik baru menggunakan pita
khas tetapi agak mahal.
Rawatan
pembedahan untuk rahim yang jatuh adalah dengan cara mengeluarkan rahim dari
faraj dipanggil histerektomi faraj.
Selalu
juga, ketiga-tiga prosedur tersebut dilakukan serentak kerana JOP melibatkan
bahagian hadapan, belakang dan rahim sekali gus, katanya sambil menambah, salah satu komplikasi yang
boleh berlaku adalah vault prolapse yang mana pembedahan untuk mengatasi
masalah ini lebih merumitkan.
Pascapembedahan
Kebiasaannya, mereka yang pernah mengalami
pembedahan melalui faraj akan melalui prosedur pembedahan yang singkat, kurang
memerlukan ubat tahan sakit, mengalami pemulihan cepat dan memulakan hidup
seperti biasa.
Walaupun begitu, histerektomi mengambil
masa tiga bulan untuk pulih sepenuhnya. Hubungan seks boleh dimulakan kembali enam minggu
lepas pembedahan. Usah risau, ia tidak akan mengganggu kehidupan seks normal.
Yang
penting, janganlah malu untuk berjumpa doktor dan menceritakan tentang segala
masalah alat sulit yang dihidapi, pesan Dr. Rosilawati. Lakukan pemeriksaan tahunan dan
pap smear sebagaimana jadual yang disyorkan oleh Kementerian Kesihatan.
Kesimpulannya, rawatan dalam bentuk
pembedahan atau bukan banyak bergantung kepada wanita itu sendiri, keseriusan
masalahnya serta aspirasi masa depan reproduktif dan seksualnya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0121&sec=Kesihatan&pg=kn_01.htm#ixzz35LWIOhEK
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment